Assalamualaikum Semua

Assalamualaikum Semua

Renung-Renungkanlah Wahai Muslimin :)

Renung-Renungkanlah Wahai Muslimin  :)

Khamis, 19 November 2015

Kolej Islam : Membangun Biah, Menjernih Fikrah, Mengkukuh Ukhwah



السلام عليكم

Sudah hampir 1 tahun 6 bulan aku di sini iaitu di...
Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS)…
Kali ini, aku akan ceritakan pengalaman aku di sini..



Banyak orang kata, KISAS sekolah yang hebat, SBT la, KISAS banyak lahirkan ulamak dan umarak … tu dan ini.. blablabla..

Memang aku tak nafikan, KISAS adalah sebuah sekolah yang hebat.

Aku adalah sebahagian warga Kolej Islam yang bakal menjadi Alumni Kolej Islam (ALKIS) tidak lama lagi.



Aku adalah dari Batch As-Siddiq-Batch ke 58. Banyak yang nak diceritakan tentang KISAS ini. Memang banyak. Dari sudut sejarahnya, dari sudut biahnya dan sebagainya.



Sebelum Masuk Ke KISAS…

Nak diceritakan di sini, aku tahu pasal KISAS pun sebab sepupu aku masuk ke sini. Lagipun, dia muslimat, SPM tahun 2008. So, aku tahupun sebab dia ceritakan serba sedikit mengenai KISAS.

Lepas Form 5, aku lihatlah satu surat permohonan Tingkatan 6 di pejabat sekolah lama aku, iaitu SAM Paya Jaras selepas keputusan SPM diumumkan. Aku apa lagi, isilah borang itu. Aku tak letakkan harapan yang tinggi ketika itu untuk masuk ke KISAS sebenarnya.

Pada bulan Mei 2014, aku masuk Form 6 di SAMT Sultan Hisamuddin. Itupun kejap jer. 2 minggu tak silap. Itupun aku tahu dapat tawaran ke KISAS melalui PK Kokurikulum, Cikgu Azlina yang inform kat aku melalui mesej yang dihantar Ustaz Nazri kepada Cikgu Azlina.

Nak kata syukur, memang aku bersyukur sebab aku dapat tawaran ke KISAS. Tapi masalahnya ramai sahabatku yang memang dari Form 1 sehingga Form 5 bersama berjuang terpaksa aku berpisah buat sementara waktu. Nanti dah habis barulah kita bersama semula.. kehkeh

Dalam keluargaku belah ibu pula, aku adalah orang kedua yang masuk ke KISAS selepas sepupuku. Namun, bagi keluarga sebelah ayahku pula, aku adalah orang yang pertama yang masuk ke KISAS. Nak diceritakan di sini, aku adalah “harapan” bagi mereka kerana tidak ada seorang pun di antara mereka yang berpendidikan agama. Allahu, berat amanah hamba ini!

Sewaktu di  KISAS..



Aku lihat disini, biah yang pelajar KISAS amalkan amat berlainan dengan sekolah-sekolah agama yang lain. Sungguh, memang lain! Mana tidaknya, dari zaman KIK (Kolej Islam Kelang) lagi pembudayaan ini masih diamalkan sehingga kini.

Apakah ramuan yang menjadikan pelajar KISAS hebat dalam pelbagai bidang, tidak kira dalam bidang agama ataupun professional?

Rahsianya dari sudut ukhrawi pelajarnya mantap. Kami ditekankan dengan adab yang baik, sentiasa istiqamah dengan amal fardiah serta amal sunnah dan pastinya mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Kami di sini ada suatu organisasi yang dinamakan Badan Dakwah dan Rohani (BADAR). Badan ini telah dipertanggungjawabkan untuk mentarbiah pelajar-pelajar KISAS. BADAR ini telah ditubuhkan sejak 34 tahun yang lalu iaitu sejak KIK ditubuhkan. Aku disini diberi taklifan untuk memegang jawatan Setiausaha Lajnah Usrah dan juga Naqib Usrah. Aku tak menyangka, aku dilantik jadi naqib usrah. Sebelum ini di sekolah lama, aku tak pernah pun nak jadi naqib usrah, apatah lagi jawatan-jawatan penting dalam sekolah lama.

Di dalam institusi usrah aku menjernihkan fikrah anak-anak usrah aku ke arah kebenaran seperti mana yang digariskan dalam Muwassofat Tarbiah oleh Imam Hasan Al-Banna. Dulu,aku tak tahu menahu pun pasal tarbiah. Bila aku baca buku Bahtera Peyelamat, Apa Ertinya Saya Menganut Islam.. tanggapan aku pasal tarbiah berubah, rupa-rupanya kita ini sebenarnya da’ie yang akan meneruskan perjuangan untuk menegakkan Islam ketika mana mehnah dan tribulasi berleluasa di zaman moden ini. Nak beritahu di sini, usrah adalah tradisi di dalam manhaj tarbiah KISAS sehinggakan usrah ini dikatakan sebagai nukleus tarbiah (cc: Ismail Isman). Aku dilatih untuk solat berjemaah lima waktu di Musolla Saidina Ali setiap hari. Ada majlis ilmu ataupun tazkirah, kita digalakkan untuk turut serta. Hasilnya apa? Kita dapat beristiqamah dengan amalan-amalan ini ketika di mana-mana sahaja kita berada.

Pasal adab juga merupakan salah satu rahsia kejayaan pelajar-pelajar KISAS. Bagi kami sebagai pelajar KISAS, guru ini dianggap sebagai murobbi. Jangan main-main, hormat dengan guru ini memang menjadi keutamaan kami. Keberkatan ilmu itu datangnya dari guru yang mengajar kita, kalau tiada keberkatan dari guru, macam mana pun kita, walaupun kita dapat 11A+, Mumtaz Sofi ataupun 4A sekalipun, kita tak akan ke mana-mana. Inilah rahsia pelajar KISAS berjaya sehingga kini.

Dari segi amalan pula, kami amalkan Sunnah sepanjang masa. Namun, perkara yang fardiah yang sepatutnya menjadi awlawiyat (keutamaan) tetap menjadi kewajipan kami. Puasa Sunat Isnin Khamis, pakai shawl, pakai kopiah, pakai minyak wangi, solat Dhuha, qiamulail, JAGA IKHTILAT dan sebagainya adalah amalan-amalan kami sehingga kini. Yang menariknya, Ikhtilat merupakan perkara yang unik yang aku pelajari di KISAS. Kita nak bermuamalat dengan muslimat, kita dilarang untuk menyebut nama muslimat walaupun kita kenal orang itu. Begitu juga sebaliknya. Nampak kan? Di sekolah-sekolah agama (bukan KISAS) iktilat langsung tak dijaga, apatah lagi di SMK?

Mengenai kecemerlangan akademik, kami di sini sama sahaja macam SBP ataupun sekolah-sekolah  yang lain, prep berfokus, kelas tambahan wajib dan sebagainya. Akan tetapi, kami seimbangkan duniawi dan ukhrawi.. barulah kita dapat capai apa yang kita nak.. Insya ALLAH. Tambahan pula, guru-guru KISAS sanggupkan korbankan masa dengan keluarga untuk mengajar anak-anak muridnya untuk kecemerlangan anak-anak muridnya tak mengira siang ataupun malam. Komitmen guru-guru kami amatlah aku sanjung, tidak hairanlah ramai guru-guru KISAS mengajar mencurahkan bakti di bumi waqafan hampir 30 tahun pun ada juga! Ramai guru-guru disini yang mengajar lebih 30 tahun ada diantaranya dari ALKIS sendiri.


Disebalik nama “Bumi Waqafan”

Ada yang bertanya kenapa KISAS dipanggil bumi Waqafan? Hmmm, di SAMT Sultan Hisamuddin dipanggil Bumi Barokah, tak tahulah apakah asal usulnya (Nanti kena tanya kepada warga SAMTiSH sendiri). Akan tetapi, nama ini ada sejarahnya yang tersendiri.


Sejarahnya bermula apabila pada 8 April 1955, dengan perkenan semua Raja-Raja Melayu ketika itu, maka suatu institusi pengajian tinggi Islam pertama negara ditubuhkan dengan nama Kolej Islam Malaya (KIM). Pada permulaannya, KIM mempunyai kekangan kewangan. Namun, setelah berunding dengan Sultan Selangor ketika itu, Sultan Hisamuddin Alam Shah, maka baginda bersetuju untuk mewaqafkan Istana Jemaah dan tanah sekitarnya untuk diwaqafkan sebagai tapak kepada KIM.

Pada tahun 1971, KIM digantikan dengan nama baharu iaitu Kolej Islam Kelang (KIK) dan diambil alih sepenuhnya oleh KPM. Tahun 1989, KIK telah ditukar nama kepada KISAS sehingga kini oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi mengenang jasa ayahanda baginda dalam membangunkan bumi Waqafan ini. Tanah waqafan ini sering diberi perhatian oleh keluarga Diraja Selangor sehingga kini demi memastikan keberkatan tanah waqaf ini terjaga.

Di sebalik Bumi Waqafan inilah lahirnya insan-insan atau Alumni Kolej Islam (ALKIS) yang berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi. Antaranya:

  • Tuan Guru Dato’ Dr.Haron Din, Mursyidul Am PAS
  • Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak
  • Dr. Juanda Jaya, Mufti Sarawak
  • Dr. Idris Ahmad, Naib Presiden PAS dan Ahli Parlimen Bukit Gantang
  • Dato’ Rosol Wahid, ADUN BN Ajil dan Mantan EXCO Kerajaan Terengganu
  • Dr. Zahazan Mohamed, Penceramah Bebas dan CEO Telaga Biru Sdn.Bhd
  • Shamsul Iskandar Mohd Akin, Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Bukit Katil
  • Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor, Pengerusi TV Al-Hijrah
  • Ustaz Mohd Ismi bin Mohd Taib, YDP PAS Kawasan Parit
  • Dato’ Mohd Yusof Din, Pengarah Institut Wasatiyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri dan Calon BN DUN Kota Anggerik
  • Dato’ Shahaniza Shamsudin, ADUN BN Kuala Sentul dan EXCO Kerajaan Pahang
  • Dato’ Zainul Rijal bin Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia
  • Dato’ Dr. Asri bin Zainul Abidin, Mufti Perlis
  • Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman, Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
  • Allahyarham Zubir Ali, Vokalis Kumpulan Harmoni
  • Faisal Tehrani, Penulis Terkenal
  • Dato’ Dr.Ustaz Ismail Kamus, Mantan ADUN PAS Gombak Setia
  • Datuk Hj. Che Mat bin Che Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
  • Tan Sri Zainal Abidin Abdul Kadir, Mantan Pengetua KIK; Mantan Duta Besar Malaysia ke Mesir; Mantan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA)
  • Dr. Hj. Mohamad Nasir Disa, Pengarah Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKIAM)
  • Dato’ Seri Dr.Norhisham bin Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Kementerian Kesihatan


Dan ramai lagi!

Kami, warga Kolej Islam memegang prinsip seperti pepatah arab ini:
إن البغاث بأرضنا يستنسر
“Sesungguhnya Pipit Di Negeri Kami Telah Menjadi Helang”

Dan juga kami juga berpegang kepada hadaf Kolej Islam sepanjang zaman iaitu:
لتخريج القادة المتقين المثقفين
“Melahirkan Pemimpin Yang Bertaqwa dan Berintelektual Tinggi”

Aku sebenarnya berbangga menjadi sebahagian daripada keluarga besar Kolej Islam sebenarnya. Tan Sri Dr. Yusof Noor berpesan ketika majlis ulang tahun ke-60 Kolej Islam pada 8 April 2015 yang lalu, beliau berkata walaupun generasi beliau dengan generasi sekarang amat berbeza, namun ukhwah antara alumni KIM, KIK dan KISAS adalah lambang wehdatul fikr (kesatuan fikrah) dalam menyemarakan dakwah Islamiah di bumi bertuah Malaysia yang tercinta ini.


Insan-insan yang berjaya ini telah menyuburkan semangat helang seperti mana pepatah arab di atas. Mereka membuktikan bahawa pelajar lepasan agama juga boleh berjaya setanding dengan pelajar-pelajar aliran sekular seperti MCKK, STF dan sebagainya. 

Aku ingin berpesan kepada sesiapa jua yang ingin melanjutkan pelajaran ke KISAS. Kutiplah hasil-hasil yang telah disemai oleh para ulamak dan umarak yang mengasaskan Kolej Islam suatu ketika dahulu yang telah bersusah payah untuk mengasaskannya; Namun, janganlah pula kamu meratakan apa jua hasil yang telah dituai selama ini. Kerosakan yang berlaku adalah cerminan kepada generasi hari ini. Fikir-fikirkanlah dan renung-renungkanlah.

Akhir kalam, hayatilah lirik lagu Kolej Islam ini. Moga Allah Ta'ala mensatukan hati-hati kami, terhindar dari perkara-perkara yang membawa mehnah dan kuatkan hati kami untuk memperbetulkan manusia ke arah kebenaran. Allahuma Amin.

Dengan Kurnia ALLAH yang Esa
Kolej Islam Tegak Perkasa
Menenuhi Hasrat Nan Bangsa
Tinggi Pengajian Agama
Bersendikan Ilmu dan Iman
Melahirkan Manusia Taqwa
Penuh Nilai Budi Bahasa
Bentuk Moral Faham Dunia 
Dikala Zaman Pancaroba
Kolej Islam Terus Berjasa
Membentuk Peribadi Mulia
Berkhidmat Pada Nusa dan Bangsa

Ikhlas:
Azam Al-Banjari
Bakal Alumni Kolej Islam (ALKIS)
20 November 2015