Assalamualaikum Semua

Assalamualaikum Semua

Renung-Renungkanlah Wahai Muslimin :)

Renung-Renungkanlah Wahai Muslimin  :)

Khamis, 19 November 2015

Kolej Islam : Membangun Biah, Menjernih Fikrah, Mengkukuh Ukhwah



السلام عليكم

Sudah hampir 1 tahun 6 bulan aku di sini iaitu di...
Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS)…
Kali ini, aku akan ceritakan pengalaman aku di sini..



Banyak orang kata, KISAS sekolah yang hebat, SBT la, KISAS banyak lahirkan ulamak dan umarak … tu dan ini.. blablabla..

Memang aku tak nafikan, KISAS adalah sebuah sekolah yang hebat.

Aku adalah sebahagian warga Kolej Islam yang bakal menjadi Alumni Kolej Islam (ALKIS) tidak lama lagi.



Aku adalah dari Batch As-Siddiq-Batch ke 58. Banyak yang nak diceritakan tentang KISAS ini. Memang banyak. Dari sudut sejarahnya, dari sudut biahnya dan sebagainya.



Sebelum Masuk Ke KISAS…

Nak diceritakan di sini, aku tahu pasal KISAS pun sebab sepupu aku masuk ke sini. Lagipun, dia muslimat, SPM tahun 2008. So, aku tahupun sebab dia ceritakan serba sedikit mengenai KISAS.

Lepas Form 5, aku lihatlah satu surat permohonan Tingkatan 6 di pejabat sekolah lama aku, iaitu SAM Paya Jaras selepas keputusan SPM diumumkan. Aku apa lagi, isilah borang itu. Aku tak letakkan harapan yang tinggi ketika itu untuk masuk ke KISAS sebenarnya.

Pada bulan Mei 2014, aku masuk Form 6 di SAMT Sultan Hisamuddin. Itupun kejap jer. 2 minggu tak silap. Itupun aku tahu dapat tawaran ke KISAS melalui PK Kokurikulum, Cikgu Azlina yang inform kat aku melalui mesej yang dihantar Ustaz Nazri kepada Cikgu Azlina.

Nak kata syukur, memang aku bersyukur sebab aku dapat tawaran ke KISAS. Tapi masalahnya ramai sahabatku yang memang dari Form 1 sehingga Form 5 bersama berjuang terpaksa aku berpisah buat sementara waktu. Nanti dah habis barulah kita bersama semula.. kehkeh

Dalam keluargaku belah ibu pula, aku adalah orang kedua yang masuk ke KISAS selepas sepupuku. Namun, bagi keluarga sebelah ayahku pula, aku adalah orang yang pertama yang masuk ke KISAS. Nak diceritakan di sini, aku adalah “harapan” bagi mereka kerana tidak ada seorang pun di antara mereka yang berpendidikan agama. Allahu, berat amanah hamba ini!

Sewaktu di  KISAS..



Aku lihat disini, biah yang pelajar KISAS amalkan amat berlainan dengan sekolah-sekolah agama yang lain. Sungguh, memang lain! Mana tidaknya, dari zaman KIK (Kolej Islam Kelang) lagi pembudayaan ini masih diamalkan sehingga kini.

Apakah ramuan yang menjadikan pelajar KISAS hebat dalam pelbagai bidang, tidak kira dalam bidang agama ataupun professional?

Rahsianya dari sudut ukhrawi pelajarnya mantap. Kami ditekankan dengan adab yang baik, sentiasa istiqamah dengan amal fardiah serta amal sunnah dan pastinya mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Kami di sini ada suatu organisasi yang dinamakan Badan Dakwah dan Rohani (BADAR). Badan ini telah dipertanggungjawabkan untuk mentarbiah pelajar-pelajar KISAS. BADAR ini telah ditubuhkan sejak 34 tahun yang lalu iaitu sejak KIK ditubuhkan. Aku disini diberi taklifan untuk memegang jawatan Setiausaha Lajnah Usrah dan juga Naqib Usrah. Aku tak menyangka, aku dilantik jadi naqib usrah. Sebelum ini di sekolah lama, aku tak pernah pun nak jadi naqib usrah, apatah lagi jawatan-jawatan penting dalam sekolah lama.

Di dalam institusi usrah aku menjernihkan fikrah anak-anak usrah aku ke arah kebenaran seperti mana yang digariskan dalam Muwassofat Tarbiah oleh Imam Hasan Al-Banna. Dulu,aku tak tahu menahu pun pasal tarbiah. Bila aku baca buku Bahtera Peyelamat, Apa Ertinya Saya Menganut Islam.. tanggapan aku pasal tarbiah berubah, rupa-rupanya kita ini sebenarnya da’ie yang akan meneruskan perjuangan untuk menegakkan Islam ketika mana mehnah dan tribulasi berleluasa di zaman moden ini. Nak beritahu di sini, usrah adalah tradisi di dalam manhaj tarbiah KISAS sehinggakan usrah ini dikatakan sebagai nukleus tarbiah (cc: Ismail Isman). Aku dilatih untuk solat berjemaah lima waktu di Musolla Saidina Ali setiap hari. Ada majlis ilmu ataupun tazkirah, kita digalakkan untuk turut serta. Hasilnya apa? Kita dapat beristiqamah dengan amalan-amalan ini ketika di mana-mana sahaja kita berada.

Pasal adab juga merupakan salah satu rahsia kejayaan pelajar-pelajar KISAS. Bagi kami sebagai pelajar KISAS, guru ini dianggap sebagai murobbi. Jangan main-main, hormat dengan guru ini memang menjadi keutamaan kami. Keberkatan ilmu itu datangnya dari guru yang mengajar kita, kalau tiada keberkatan dari guru, macam mana pun kita, walaupun kita dapat 11A+, Mumtaz Sofi ataupun 4A sekalipun, kita tak akan ke mana-mana. Inilah rahsia pelajar KISAS berjaya sehingga kini.

Dari segi amalan pula, kami amalkan Sunnah sepanjang masa. Namun, perkara yang fardiah yang sepatutnya menjadi awlawiyat (keutamaan) tetap menjadi kewajipan kami. Puasa Sunat Isnin Khamis, pakai shawl, pakai kopiah, pakai minyak wangi, solat Dhuha, qiamulail, JAGA IKHTILAT dan sebagainya adalah amalan-amalan kami sehingga kini. Yang menariknya, Ikhtilat merupakan perkara yang unik yang aku pelajari di KISAS. Kita nak bermuamalat dengan muslimat, kita dilarang untuk menyebut nama muslimat walaupun kita kenal orang itu. Begitu juga sebaliknya. Nampak kan? Di sekolah-sekolah agama (bukan KISAS) iktilat langsung tak dijaga, apatah lagi di SMK?

Mengenai kecemerlangan akademik, kami di sini sama sahaja macam SBP ataupun sekolah-sekolah  yang lain, prep berfokus, kelas tambahan wajib dan sebagainya. Akan tetapi, kami seimbangkan duniawi dan ukhrawi.. barulah kita dapat capai apa yang kita nak.. Insya ALLAH. Tambahan pula, guru-guru KISAS sanggupkan korbankan masa dengan keluarga untuk mengajar anak-anak muridnya untuk kecemerlangan anak-anak muridnya tak mengira siang ataupun malam. Komitmen guru-guru kami amatlah aku sanjung, tidak hairanlah ramai guru-guru KISAS mengajar mencurahkan bakti di bumi waqafan hampir 30 tahun pun ada juga! Ramai guru-guru disini yang mengajar lebih 30 tahun ada diantaranya dari ALKIS sendiri.


Disebalik nama “Bumi Waqafan”

Ada yang bertanya kenapa KISAS dipanggil bumi Waqafan? Hmmm, di SAMT Sultan Hisamuddin dipanggil Bumi Barokah, tak tahulah apakah asal usulnya (Nanti kena tanya kepada warga SAMTiSH sendiri). Akan tetapi, nama ini ada sejarahnya yang tersendiri.


Sejarahnya bermula apabila pada 8 April 1955, dengan perkenan semua Raja-Raja Melayu ketika itu, maka suatu institusi pengajian tinggi Islam pertama negara ditubuhkan dengan nama Kolej Islam Malaya (KIM). Pada permulaannya, KIM mempunyai kekangan kewangan. Namun, setelah berunding dengan Sultan Selangor ketika itu, Sultan Hisamuddin Alam Shah, maka baginda bersetuju untuk mewaqafkan Istana Jemaah dan tanah sekitarnya untuk diwaqafkan sebagai tapak kepada KIM.

Pada tahun 1971, KIM digantikan dengan nama baharu iaitu Kolej Islam Kelang (KIK) dan diambil alih sepenuhnya oleh KPM. Tahun 1989, KIK telah ditukar nama kepada KISAS sehingga kini oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi mengenang jasa ayahanda baginda dalam membangunkan bumi Waqafan ini. Tanah waqafan ini sering diberi perhatian oleh keluarga Diraja Selangor sehingga kini demi memastikan keberkatan tanah waqaf ini terjaga.

Di sebalik Bumi Waqafan inilah lahirnya insan-insan atau Alumni Kolej Islam (ALKIS) yang berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi. Antaranya:

  • Tuan Guru Dato’ Dr.Haron Din, Mursyidul Am PAS
  • Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak
  • Dr. Juanda Jaya, Mufti Sarawak
  • Dr. Idris Ahmad, Naib Presiden PAS dan Ahli Parlimen Bukit Gantang
  • Dato’ Rosol Wahid, ADUN BN Ajil dan Mantan EXCO Kerajaan Terengganu
  • Dr. Zahazan Mohamed, Penceramah Bebas dan CEO Telaga Biru Sdn.Bhd
  • Shamsul Iskandar Mohd Akin, Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Bukit Katil
  • Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor, Pengerusi TV Al-Hijrah
  • Ustaz Mohd Ismi bin Mohd Taib, YDP PAS Kawasan Parit
  • Dato’ Mohd Yusof Din, Pengarah Institut Wasatiyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri dan Calon BN DUN Kota Anggerik
  • Dato’ Shahaniza Shamsudin, ADUN BN Kuala Sentul dan EXCO Kerajaan Pahang
  • Dato’ Zainul Rijal bin Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia
  • Dato’ Dr. Asri bin Zainul Abidin, Mufti Perlis
  • Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman, Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
  • Allahyarham Zubir Ali, Vokalis Kumpulan Harmoni
  • Faisal Tehrani, Penulis Terkenal
  • Dato’ Dr.Ustaz Ismail Kamus, Mantan ADUN PAS Gombak Setia
  • Datuk Hj. Che Mat bin Che Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
  • Tan Sri Zainal Abidin Abdul Kadir, Mantan Pengetua KIK; Mantan Duta Besar Malaysia ke Mesir; Mantan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA)
  • Dr. Hj. Mohamad Nasir Disa, Pengarah Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKIAM)
  • Dato’ Seri Dr.Norhisham bin Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Kementerian Kesihatan


Dan ramai lagi!

Kami, warga Kolej Islam memegang prinsip seperti pepatah arab ini:
إن البغاث بأرضنا يستنسر
“Sesungguhnya Pipit Di Negeri Kami Telah Menjadi Helang”

Dan juga kami juga berpegang kepada hadaf Kolej Islam sepanjang zaman iaitu:
لتخريج القادة المتقين المثقفين
“Melahirkan Pemimpin Yang Bertaqwa dan Berintelektual Tinggi”

Aku sebenarnya berbangga menjadi sebahagian daripada keluarga besar Kolej Islam sebenarnya. Tan Sri Dr. Yusof Noor berpesan ketika majlis ulang tahun ke-60 Kolej Islam pada 8 April 2015 yang lalu, beliau berkata walaupun generasi beliau dengan generasi sekarang amat berbeza, namun ukhwah antara alumni KIM, KIK dan KISAS adalah lambang wehdatul fikr (kesatuan fikrah) dalam menyemarakan dakwah Islamiah di bumi bertuah Malaysia yang tercinta ini.


Insan-insan yang berjaya ini telah menyuburkan semangat helang seperti mana pepatah arab di atas. Mereka membuktikan bahawa pelajar lepasan agama juga boleh berjaya setanding dengan pelajar-pelajar aliran sekular seperti MCKK, STF dan sebagainya. 

Aku ingin berpesan kepada sesiapa jua yang ingin melanjutkan pelajaran ke KISAS. Kutiplah hasil-hasil yang telah disemai oleh para ulamak dan umarak yang mengasaskan Kolej Islam suatu ketika dahulu yang telah bersusah payah untuk mengasaskannya; Namun, janganlah pula kamu meratakan apa jua hasil yang telah dituai selama ini. Kerosakan yang berlaku adalah cerminan kepada generasi hari ini. Fikir-fikirkanlah dan renung-renungkanlah.

Akhir kalam, hayatilah lirik lagu Kolej Islam ini. Moga Allah Ta'ala mensatukan hati-hati kami, terhindar dari perkara-perkara yang membawa mehnah dan kuatkan hati kami untuk memperbetulkan manusia ke arah kebenaran. Allahuma Amin.

Dengan Kurnia ALLAH yang Esa
Kolej Islam Tegak Perkasa
Menenuhi Hasrat Nan Bangsa
Tinggi Pengajian Agama
Bersendikan Ilmu dan Iman
Melahirkan Manusia Taqwa
Penuh Nilai Budi Bahasa
Bentuk Moral Faham Dunia 
Dikala Zaman Pancaroba
Kolej Islam Terus Berjasa
Membentuk Peribadi Mulia
Berkhidmat Pada Nusa dan Bangsa

Ikhlas:
Azam Al-Banjari
Bakal Alumni Kolej Islam (ALKIS)
20 November 2015



Selasa, 22 September 2015

Program ADUN Muda Selangor Sesi II (9-10 September 2015) - Antara Pengalaman Yang Paling Berharga



بسم الله الرحمن الحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sudah lama ye tak update blog. Hari ini aku nak menceritakan pengalaman aku sepanjang menjadi peserta Program ADUN Muda Selangor baru-baru ini di Dewan Negeri Selangor, SUK Shah Alam. Aku memang tak menyangka....Alhamdulillah, aku telah terpilih dan dipanggil oleh pihak penganjur untuk mengikuti program ini untuk sesi ke II untuk tahun 2015 dari 9-10 September 2015 yang lalu.

Nak menyertai Program ADUN Muda Selangor mudah sahaja syaratnya...iaitu mestilah berumur dari 18 hingga 24 tahun; menjadi penuntut IPTA/IPTS di negeri Selangor dan perlu diperingatkan bahawa anak jati Selangor diberi keutamaan untuk menyertai program ini. Namun jangan risau, pihak penganjur iaitu Pejabat Tuan Speaker tidak akan mengdiskriminasi bukan anak-anak jati Selangor ye. Jangan salah faham pula. ADUN Muda yang terpilih akan mewakili 56 kawasan DUN sama ada berada di pihak kerajaan ataupun pembangkang. Itu dikira nasiblah ye.

Bagi aku yang menyertai program ini,program ini telah mencapai suatu KPI yang tidak terdapat pada Kerajaan Persekutuan pada hari ini, iaitu budaya berpolitik secara matang. Perlu diingat, bahawa perkembangan politik muktahir ini tidak menjamin persaingan sihat sesama seteru politik, malahan membawa kepada kemudaratan yang berpanjangan khususnya di peringkat akar umbi. Keadaan politik yang tidak stabil ditambah lagi dengan cengkaman kemelesetan ekonomi dan kontroversi menambahkan lagi keraguan rakyat kepada kerajaan persekutuan (BN).

Untuk fakta, Selangor merupakan negeri pertama di Malaysia yang menganjurkan persidangan ADUN khas untuk anak muda. Program ini bermula pada akhir tahun 2013 telah disusuli dengan Kementerian Belia dan Sukan memperkenalkan Parlimen Belia pada awal tahun 2014 yang menggunakan sistem undi online untuk memilih Ahli Parlimen Belia mengikut 222 kerusi Dewan Rakyat yang sedia ada. Selangor telah terkehadapan dalam pembentukan budaya berpolitik secara matang telah membuka mata Negeri Sembilan dan Pulau Pinang untuk melaksanakan program yang sama seperti Selangor.

Penganjuran Program ADUN Muda sebenarnya disambut baik oleh ADUN-ADUN Pakatan mahupun BN sendiri. Mereka mahu melihat anak-anak muda ini faham akan dasar yang dibawa Kerajaan Selangor pada hari ini dan mereka (ADUN-ADUN PR dan BN) mengharapkan agar membawa mesej perubahan untuk masa depan Selangor khususnya dan Malaysia amnya apabila anak-anak muda ini dipilih oleh rakyat untuk menjadi ADUN/wakil rakyat di tempat masing-masing pada suatu hari nanti.


Gambar Kenangan Ketika Persidangan ADUN Muda Pada 10 September lepas


PENGALAMAN YANG TIDAK AKAN AKU DILUPAKAN....

Sesungguhnya pengalaman untuk merasai pengalaman sebagai ADUN Muda walaupun sehari amat sukar untuk dilupakan...sedangkan ramai lagi yang tidak berpeluang untuk masuk apatah lagi untuk duduk di Dewan Negeri. Tanyalah kepada sesiapa, pernahkah kalian duduk apatahlagi untuk menyertai persidangan di Dewan Negeri/DUN??? Mesti ramai yang menjawab...aku tengok di TV sahaja pertengkaran YB-YB di dalam Dewan.

Akan tetapi ini adalah realiti! Realiti yang hanya dirasai oleh semua rakan-rakanku yang menyertai program ini. Aku menyaksikan sendiri betapa matangnya "brainstorm" idea yang mereka ketengahkan mengenai usul yang ingin dibawakan di dalam Dewan sehinggakan aku sendiri berasa rendah diri; mereka ini termasuk aku ingin belajar dari pengalaman; bagaimana YB-YB ini berbahas usul dasar yang ingin dibawakan. Rupa-rupanya memang sukar untuk dilakukan kerana draf usul itu perlulah dibawa dalam Jawatankuasa Dewan terlebih dahulu barulah ada Bacaan Pertama, Kedua, Ketiga dan diperbahaskan serta diperincikan oleh Ahli-Ahli Dewan...dan barulah usul itu diterima ataupun sebaliknya.

Usul yang perlu diperbahaskan oleh rakan-rakanku pada Persidangan ADUN Muda...memang mencabar minda


Gambar di atas menunjukkan usul yang perlu diperbahaskan oleh ADUN-ADUN Muda. 

Usul pertama: mengenai Rumah Mampu Milik untuk golongan muda. Usul Kedua; penyertaan peluang kepada pelajar pelbagai kaum untuk ke Universiti Selangor (UNISEL).

Usul ini memang mencabar minda sebenarnya, kerana kita perlu berpijak kepada bumi yang nyata. Dasar Kerajaan Selangor yang berpaksikan 'Merakyatkan Ekonomi Selangor" perlulah difahami dengan jelas supaya tidak lari dari isu atau usul yang dibangkitkan.

Oh, sebelum terlupa aku merupakan salah seorang dari ADUN Kerajaan yang mewakili DUN Sungai Pinang (DAP). Untuk itu, aku bersama-sama ADUN Muda yang lain membahagikan tugas-tugas seperti mencari data, membangkitkan isu-isu utama berkaitan usul dan sebagainya supaya dapat digabungkan untuk menjadi sebuah dasar utama berkaitan dengan usul yang akan diperincikan oleh Pencadang dan Pembangkang; selepas itu Speaker akan membuka peluang kepada ahli-ahli Dewan untuk berbahas.

Aku sebenarnya adalah pembawa usul Rumah Mampu Milik pada sesi waktu pagi, akan tetapi malangnya ramai ahli-ahli Dewan lari dari isu yang dibangkitkan. Sehinggakan ada rakanku dari pihak Kerajaan (Backbenchers) menyanggah usul Pembangkang kerana cuba untuk mengelirukan ahli-ahli dewan dengan perkara yang lain sedangkan persoalan pokok kepada usul ini adalah usul Rumah Mampu Milik. Aku sebenarnya mempunyai point yang kukuh iaitu mengenai isu tapak tanah untuk pembinaan RMR yang melambung hampir 300%, akan tetapi apakan daya aku tak mampu untuk mencelah, kerana apa realitinya tidak kira Kerajaan mahupun Pembangkang cuba untuk mempertahankan "bahtera" masing-masing.

Perkara ini sudah dijangka akan ditegur oleh YB Timbalan Speaker, Ustaz Shafie Ngah. Beliau faham, anak-anak muda ini bersifat agresif dan amat dipuji dari segi kualiti perbahasan, namun beliau menasihatkan kepada YB-YB ADUN Muda supaya mengulang kaji dahulu sebelum menyertai perbahasan. Beliau berkata ada terdapat ahli-ahli Dewan menggunakan tablet/smart phone on the spot untuk menbacakan statistik/data sedangkan perkara itu tidak dibenarkan seperti mana yang termaktub dalam Peraturan Tetap Dewan.

Akhirnya kami (Kerajaan) berasa lega kerana usul yang dibawa oleh kami dipersetujui oleh ahli-ahli Dewan. Kerajaan 1 Pembangkang 0.

YB Saari Sungip (PAS-Hulu Kelang) yang juga Pengerusi JK DNS Pembasmian Kemiskinan mewakili Kerajaan Selangor mengambil tempat sebagai YAB Dato' Menteri Besar (Bukit Antarabangsa) sedang membuat pergulungan mengenai usul-usul ADUN Muda. Aku ada di sebelah YB sedang menfokuskan apa yang diperkatakan oleh YB Saari.

Pada sebelah petangnya pula usul kedua mengenai UNISEL diperbahaskan. Kali ini EXCO Pendidikan, YB Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga ADUN Seri Setia yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mengambil tempat mewakili Kerajaan Selangor dengan mengambil tempat YAB Dato' Menteri Besar untuk menyertai persidangan ADUN Muda.

Pada ketika ini, Speaker DNS, YB Hannah Yeoh mengambil tempat sebagai Speaker pada petang tersebut. Aku lihat semua ahli dewan senyap tatkala YB Hannah mengambil tempat. Sebab apa, YB Hannah adalah seorang Speaker yang tegas dan teguh pendiriannya. Pada sebelah paginya banyak juga kejadian yang mencuit hati berlaku sehingga Dewan gamat dengan gelak ketawa terutama sekali apabila YB Gombak Setia menyatakan beliau bukan Mat Sabu sedangkan mukanya sendiri hampir serupa dengan Mat Sabu yang senior. Hahaha.

Kali ini, aku buat pertama kalinya aku menyertai perbahasan berkaitan UNISEL yang mana pada pagi tadi aku tidak bekesempatan untuk menyertai perbahasan berkaitan RMR. Secara jujurnya aku memang berdebar-debar, namun aku tetap bersemangat menyertai perbahasan pada petang itu. Usul yang aku bawa adalah:
  • Menyokong usul rakan dari Pandamaran (DAP) yang mencadangkan agar dipotong gaji MB dan EXCO untuk disalurkan kepada Tabung Pembangunan Pendidikan Negeri Selangor
  • Menyatakan sokongan terhadap komitmen Selangor untuk membangunkan Pendidikan Tinggi jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain
  • Menyokong usul Kuang (BN) supaya diperbaiki prasarana UNISEL ke tahap kelas satu dan mesra mahasiswa.
  • Mencadangkan agar UNISEL mempergiatkan promosi di media-media massa mahupun sosial dari semasa ke semasa
  • Membuat perjanjian pesefahaman (MoU) dengan universiti-universiti terkemuka seperti Universiti Oxford ataupun Universiti Malaya bagi mempertingkatkan kualiti akademik UNISEL keseluruhannya
Inilah aku ketika menyertai perbahasan. Terima kasihlah kepada photographer kerana tangkap gambar ini.

YB Nik Nazmi Nik Ahmad (Keadilan-Seri Setia) yang juga EXCO Pendidikan Selangor sedang membuat pergulungan.

Akhirnya, dalam sesi pergulungan oleh YB Nik Nazmi, beliau optimis dengan cadangan ADUN-ADUN Muda dan akan mempertimbangkan cadangan-cadangan tersebut. Akhirnya usul UNISEL ini mendapat sokongan seluruh ahli Dewan. Kerajaan 2 Pembangkang 0. Hehehe. Pihak kerajaan menang dalam dua-dua usul tersebut. YB Nik Nazmi sempat berbisik dengan aku, yang mana pentingnya majoriti 2/3 di dalam Dewan untuk meluluskan apa jua usul yang dibawa. YB Nik Nazmi juga menyatakan nak menentukan usul itu diluluskan atau sebaliknya, Speaker boleh membuat undi belah bahagi namun kata YB Nik Nazmi implikasinya kepada Kerajaan amat berbahaya sebab itulah yang membuatkan kerajaan yang memerintah tumbang. Beliau berkata semedikian sebab pernah menjadi Timbalan Speaker DNS ketika Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi MB.

Inilah sedikit sebanyak pengalaman yang aku kutip sepanjang menyertai program ini. Program ini memang menarik dan diharap ada yang akan menyertai program ini pada masa akan datang. Itu sahaja kot yang aku nak kongsikan pada kali ini.

Sila layari laman web rasmi DNS di dewan.selangor.gov.my untuk maklumat lanjut mengenai Program ADUN Muda Selangor. Nanti boleh tengok video full Sidang ADUN Muda di Youtube TV Selangor (TVS). Selangor Kini (Akhbar Rasmi Kerajaan Selangor) juga membuat liputan tentang program ini. Boleh dapatkan segera...

Aku adalah ADUN Sungai Pinang...perasan je lebih, hehehe

Nama aku ada tu..tak kan korang tak percaya lagi..huhu

Aku bersama YB Tuan Timbalan Speaker, Ustaz Shafie Ngah (PAS-Bangi)..seorang peguam sivil dan syarie. Yang menariknya anaknya sendiri, Ajwad Shafie menyertai program ini. Dia duduk sebelah aku dan jadi ADUN Chempaka (boleh tengok gambar-gambar masa persidangan di atas). Anaknya menyambung LLB di USIM..nak kata kat sini nak menyambung legasi keluarga la..hmm apa-apa pun all the best Ajwad Shafie..

Wah..tekun gila bai aku menulis point-point penting..haha
Bersama-sama YB Nik Nazmi Nik Ahmad, EXCO Pendidikan Selangor (Keadilan-Seri Setia).YB merupakan ex-MCKK (MCBOA) dan aku adalah bakal ex-KISAS (ALKIS). Nasib baik YB pakai tie Liverpool bukan tie MCBOA. haha.
Menerima Sijil Penghargaan dari Tuan Speker YB Hannah Yeoh. Terima kasih kepada YB kerana beri peluang kepada kami ADUN-ADUN Muda menyertai perbahasan.

Gambar Rasmi Program ADUN Muda di perkarangan bangunan DNS
Gambar ketika selesai program...semua ceria belaka. Moga-moga kita bertemu pada lain masa.

Ikhlas dariku:
Mohd Azam bin Mat Saaed @ Mohd Shoib Al-Banjari
Mantan ADUN Muda Selangor Sungai Pinang

#adunmudaselangor
#payajaras

Selasa, 16 September 2014

Krisis MB Selangor dan Kekuatan Anak Jati Selangor Mempertahankan DYMM Tuanku


Baru-baru ini,Azam Al-Banjari dikejutkan dengan berita DYMM Sultan Selangor,Sultan Sharafuddin Idris Shah murka akan tindakan PKR dan DAP tidak mencalonkan lebih dari dua nama untuk pertimbangan Tuanku untuk melantik MB yang baharu menggantikan TS Khalid Ibrahim.

Tindakan PKR dan DAP ini lebih bersifat politik dan kosmetik kerana enggan menerima idea Tuanku ini.Apablia Datuk Muhammad Munir Bani,Setiausaha Sulit Tuanku membuat kenyataan media bahawasanya Tuanku amat murka dengan tindak tanduk parti tersebut..barulah DS Anwar dengan Lim Guan Eng "memohon ampun" di atas tindakan mereka ini.

Yang menariknya,PAS tanpa berfikir panjang meletakkan tiga nama untuk pertimbangan Tuanku.Ini sesuatu yang amat mengejutkan kerana selama ini PAS berpegang kepada "tahaluf siyasi" Pakatan Rakyat.Akan tetapi,apabila krisis MB Selangor ini dicetuskan oleh DS Anwar sendiri,semuanya sudah berubah.PAS mengambil langkah untuk mempertahankan kerajaan yang sedia ada walaupun tindakan TS Khalid sudah memecat EXCO-EXCO yang mewakili PKR dengan DAP sendiri.Tindakan ini disokong oleh Dewan Ulamak PAS sendiri yang mana Datuk Dr.Haron Din,Timbalan Mursyidul Am sendiri menyatakan bahawa selagi mana TS Khalid tidak melakukan kesalahan tanpa ada sebarang bukti yang sahih,tidak ada keperluan untuk memecat atau mengambil tindakan ke atas beliau (TS Khallid)

Yang peliknya juga,ada juga serpihan baharu iaitu PASMA pimpinan YB Datuk Pharolrazi,seorang ADUN PAS dari Kedah.Nampaknya lagi kalutlah situasinya pada ketika ini.Disebalik dengan krisis MB Selangor,muncul pula puak lain dalam PAS.Nampaknya PAS menjadi mangsa keadaan terutama sekali Presiden PAS,TG Hj.Hadi Awang.PASMA ditubuhkan kerana kononnya nak kekalkan persefahaman diantara "Pakatan Rakyat".Tapi puak-puak ini menjadi parasit kerana mereka secara terbuka menghina pimpinan Ulama' dan pimpinan lain.Makin carca marca PAS ketika ini.

Belum lagi dikira PKR lagi.Lagilah hebat konfliknya.Konfilk DS Anwar memilih DS Wan Azizah belum terungkai lagi.Masih kabur hingga kini.Sehingga kini,pencetus "Langkah Kajang",Rafizi Ramli masih membisu seribu bahasa tentang apakah rasionalnya agenda ini dilaksanakan.Sejak PRK Kajang,DS Anwar makin aggresif untuk "menakluk" Kajang.Apabila DS Anwar dituduh bersalah oleh mahkamah...tahu-tahu sahajalah,ada sahaja helahnya.Ramai yang mengatakan,Tindakan DS Anwar ini untuk menjadi MB Selangor,akan tetapi digantikan dengan DS Wan Azizah kerana DS Anwar mempunyai kes mahkamah yang membuatkan beliau tidak layak untuk bertanding.Sejak dari itu,Khalid Ibrahim seolah-olah macam "pasif" dengan tindak tanduk DS Anwar.

Banyak peristiwa sudah berlaku...malas nak taip,anda tahu sendiri kan..analisis dan fikir-fikirkan bagaimana.
___________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________



Sekarang ini,persoalan lain pula timbul.Bagaimana rakyat Selangor dapat bersodaliriti untuk mempertahankan DYMM Tuanku dalam hal ini.Tuanku sudah memberikan jalan yang mudah kepada PAS,PKR dan DAP untuk memberikan nama untuk pertimbangan Tuanku untuk dilantik sebagai MB.Kenapa PKR dan DAP masih berdegil untuk mencalonkan DS Wan Azizah.Setinggi gunung harapan suami isteri ini akhirnya punah jatuh ke tanah jua kerana Tuanku tak memperkenan untuk dibawa mengadap ke Istana Alam Shah tempoh hari.

Tindakan bijak Tuanku ini sebenarnya menimbulkan rasa tak puas hati di kalangan Anwarinas,liberalisme dan sekularisme.Tak payah sebut nama orang ni pun orang dah kenal.Nak tahu siapa???Dia ini mula-mula sekali menempelak tindakan Tuanku tidak memperkanan nama DS Wan Azizah sebagai MB.Perlukah Tuanku nak mendengar pandangan orang yang semedikian rupa?Sudah tentunya tidak!

Nampaknya anak-anak jati Selangor sudah berani ke hadapan.Sultan Selangor yang mempertahankan Melayu dan Islam digelar rasis oleh orang-orang tertentu.Ada juga yang menghina Tuanku terang-terangan dalam FB serta mengisyhtiharkan Malaysia akan jadi republik dan tiada raja-raja Melayu.Siapakah gerangan orang ini?Siapa yang berani yang tulis benda semedikian?Tepuk dada tanya diri sendiri la!Azam Al-Banjari tetap komited mempertahankan Agama,Bangsa dan Negara.

Alhamdulillah...banyak NGO Melayu sudah berani mempertahankan hak-hak Istimewa kita sebagai orang Melayu.Tapi kena beringat,NGO selain Melayu sudah mempunyai "senjata" untuk menembak kita dari dalam.Kekuatan kita amat penting,jangan berpecah belah sesama kita.Moga-moga kita diberikan kekuatan dalam menghadapi cubaan yang getir ini.

Daulat Tuanku!



Selasa, 31 Disember 2013

Tahun Baharu 2014 : Harapan Dan Aspirasi

Tahun Baharu 2014 sudah menjelma.Bagi Azam Al-Banjari,sebagai seorang manusia yang dilahirkan di muka bumi ini semestinya mempunyai matlamat atau misi yang ingin dicapai pada tahun 2014.Matlamatnya adalah satu,diharap Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaulat dan maju disamping meperkukuh perpaduan dan integrasi nasional di kalangan rakyat,menangani masalah-masalah yang selalu menjadi barah sekian lama seperti rasuah,masalah kepimpinan yang kurang cekap,masalah sosial dan pelbagai lagi.Lagipun,ini adalah harapan seorang rakyat biasa sahaja.Sekiranya ada salah seorang pimpinan BN mahupun PR yang membaca entri ini,diharap anda bijak dalam tindak tanduk anda sebagai wakil rakyat.Rakyat telah memangkah anda untuk mewakili suara rakyat di Dewan Rakyat.Jadi,andalah harapan yang menjadi tempat bergantung dan berharap nasib.Jadi,jangan hampakan pengundi yang telah mengundi kalian.Kalian akan dihukum kelak sekiranya tiada inisiatif yang berkesan untuk menangani masalah mereka.

Aspirasi yang diperjuangkan oleh Azam Al-Banjari bukanlah "Lawan Tetap Lawan" seperti yang dilaungkan dan diperkatakan oleh DS Anwar Ibrahim setiap kali berceramah mahupun "Rakyat Didahulukan" yang sering kali diulang-ulang oleh Perdana Menteri,DS Najib Razak yang sekarang ini menjadi agenda utama Kerajaan Barisan Nasional yang memerintah.Walaupun prinsip ideologi "Rakyat Didahulukan" sebenarnya signifikan,akan tetapi Azam Al-Banjari tidak sesekali akan mengikuti jejak langkah DS Najib itu kerana merasakan sekiranya "Rakyat Didahulukan",mengapakah kualiti perkhidmatan kepada rakyat tidak mahu diperbaiki secara holistik dan bersepadu?Walaupun hampir 100 produk 1 Malaysia diperkenalkan,jelas di sini bahawasanya rakyat mahukan bukan produk yang dihasilkan,akan tetapi kualiti "value of money" dari duit cukai yang mereka bayar sepanjang tahun.Adakah pemimpin Kerajaan BN atau pemimpin akar umbi UMNO,MCA dan MIC sedar akan hal ini?Azam Al-Banjari hanya ingin melihat,masyarakat setempat peka dan prihatin dengan situasi semasa di dalam negara dan tempat tinggal mereka di samping tidak melupakan kepentingan bernegara dan beragama seperti mana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Itulah harapan rakyat sebenarnya.Semalam kata lain,hari ini pula kata lain.Itulah Malaysia,yang mempunyai pelbagai ragam dan macam.Ada yang nak itu,ada yang nak ini.Begitulah manusia,di dalam istilah ekonomi pun ada keperluan dan kehendak.Macam-macamlah berlaku di Malaysia ini sehinggakan Azam Al-Banjari penat untuk menganalisis kesemuanya.Begitu juga dengan kenaikan harga barang,seperti di dalam entri yang diterbitkan semalam,ramai yang melenting,di sebaiknya ada jalan altenatif yang berguna untuk kebaikan kita juga.Jangan jadi katak di bawah tempurung,nanti malu bertanya sesat jalan.

Banyak lagi untuk diperbincangkan.Maklumlah tahun baharu,semuanya baharu,yang lama kita buang,yang baru kita ambil peluang sebaik-baiknya.Kehidupan perlu kita teruskan.Sebagai makhluk dan hamba-Nya yang hina,jangan pula sesekali kita melupakan perintah dari yang maha Esa.Jangan pula sombong apatah lagi bongkak,kerana semua yang kita miliki ini hak milik siapa sebenarnya?Fikir-fikirkanlah wahai pembaca yang budiman.Alangkah bagusnya peluang yang Azam-Al-Banjari ini untuk meperbetulkan masayarakat yang saling bercakaran kerana berlainan ideologi politik.Malangnya,ia sengaja diperlambat-lambatkan oleh pihak yang tertentu kerana ada agenda udang di sebalik batu.Maklumlah,makin manusia itu makin berharta,makin sombong dan pentingkan diri sendiri.Jangan jadi bongkak,kerana ajal maut di tangan ALLAH jua!


Celik Akal Bestari:

Makin Manusia Itu Berharta,Makin Sombong Dan Pentingkan Diri Sendiri.


Azam Al-Banjari Mengucapkan Tahun Baharu Masihi 2014.Moga-Moga ALLAH Merahmati Umur Kalian Dan Dipermurahkan Rezeki.

Insya ALLAH.Amin.




Isnin, 30 Disember 2013

Kenaikan Harga Barang : Suatu Realiti Yang Pasti

Sudah maklum dan sejak muktahir ini,selepas sahaja Pilihan Raya Umum-13;Kerajaan Barisan Nasional pimpinan DS Najib nampaknya mula menunjukkan taringnya.Nampaknya rakyat sudah terbeban dengan kenaikkan harga syiling minyak petrol RON 95 dari RM 1.90 hingga RM 2.10 iaitu kenaikkan sebanyak RM 0.20.Gula dimansuhkan subsidi dan terkini kenaikkan tarif elektirik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kenaikkan harga tol di kesemua konsesi tol mulai 1 Januari ini.Tidak kurang juga ASTRO pula mengambil kesempatan untuk menaikkan bil bulanan kepada semua pemegang akaun yang dianggarkan sebanyak 1.2 juta pengguna.Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan pada 1 April 2015.

Kesemua yang dinyatakan adalah sebahagian daripada pakej "Rasionalisasi Subsidi" yang bertujuan untuk memberi kesan yang baik kepada ekonomi negara pada jangka masa sederhana dan pendek.Bahkan,pihak Pakatan Rakyat juga mengambil kesempatan dengan menggunakan isu ini sebagai agenda untuk menaikkan semangat juang ahli mereka untuk menentang yang didakwa mereka kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO dan Barisan Nasional adalah kerajaan yang zalim dan menggelarkan BN sebagai "Barang Naik".

Oleh sebab itu,ramai pihak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO's) seluruh negara membantah kenaikkan harga barang.Tidak ketinggalan juga para blogger-bloggers pro-BN menentang keras tindakan kerajaan ini yang mereka sifatkan para-para penasihat DS Najib sendiri yang didakwa mereka nasihat yang diberikan  para penasihat malang ini kepada DS Najib hanya membunuh karier politik DS Najib sendiri.

Majoriti rakyat jelata seantero Malaysia membantah termasuk Azam Al-Banjari sendiri.Macam mana tak marah semua barang-barang keperluan naik,dengan gaji yang tidak seberapa,nak menanggung pelbagai hutang,menguruskan pelbagai keperluan harian dan lain-lain lagi sehingga nak buat simpanan kecemasan pun tidak cukup.Para peniaga pula berkesempatan mengambil untung atas angin dek kerana mereka mendakwa kenaikkan kos overhead dan pengurusan.Nak harapkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang bernilai RM 650,sebenarnya cukup-cukup untuk banyar yuran dan pelbagai keperluan sekolah.Nasib baiklah ada Bantuan Persekolahan RM 100;kalau anak ramai,lagi senyumlah si bapa sampai ke telinga!

Sebenarnya,berdasarkan pemerhatian daripada akhbar seperti Sinar Harian;Pengerusi PAC,Datuk Nur Jazlan Muhammad menyatakan harapan rakyat adalah di tangan DS Najib sendiri untuk bertindak.Benar kata Datuk Nur Jazlan,kini majoriti rakyat mengharapkan pihak kerajaan membuat sesuatu sekurang-kurangnya memotong elaun keraian para menteri-menteri dan JUSA serta menjimatkan penggunaan elektirik di kesemua premis kerajaan.Sekiranya DS Naijb tidak bertindak secara proaktif,maka tunggulah hukuman rakyat pada PRU-13 yang dijangka pada tahun 2018.

Isu ini masih hangat diperbincangkan dan diperdebatkan di kedai kopi,di media soisal dan sebagainya.Persoalannya,apakah tindakan kita untuk mengatasi masalah ini?Hanya tunggu kerajaan sahajakah baru nak bertindak?Buat demonstrasi melepaskan amarah dan nafsu,berguling di atas jalan raya dan melontarkan pelbagai objek keras dan menggelarkan para petugas PDRM sebagai anjing UMNO?

Itulah politik,politik kotor yang hanya menghalalkan cara dan matlamat yang ingin dicapai oleh golongan-golongan tertentu.Pemimpin di atas masih bermain wayang dengan rakyat,katanya kalau tak sokong Kerajaan Barisan Nasional,jangan duduk di negara ini.Kata-kata dari pemimpin ini langsung tidak rasional dan tidak masuk akal bahkan ini turut membahayakan kedudukan dan kreatibiti UMNO dan BN sendiri.Pemimpin Pakatan Rakyat satu hal juga,dalam keadaan yang tidak menentu ini juga,masih lagi mengapi-apikan keadaan.Azam Al-Banjari faham,pimpinan Pakatan Rakyat turut membantah sekeras-kerasnya kenaikkan harga barang.Akan tetapi,gunakan kaedah yang lebih berdiplomasi.Ahli Parlimen PR hendaklah berbincang dengan Kelab Penyokong Back Benches BN (BNBBC) dan mencapai resolusi untuk kebaikkan bersama.

Ada kalanya Azam Al-Banjari terfikir-fikir juga,apakah yang patut dilakukan oleh rakyat dalam mengatasi hal ini.Mungkin cadangan yang akan diberikan sedikit sebanyak dapat membantu.Antaranya ialah:


  • Meningkatkan kemahiran,bakat dan kreativiti diri
Cadangan di atas nampaknya amat signifikan,kerana rakyat Malaysia masih kurang sedar di dalam pentingnya aspek mengasah kemahiran dan bakat semulajadi di dalam diri.Banyak pusat-pusat kemahiran dibina oleh pihak kerajaan seperti Kolej Komuniti,GiatMara dan sebagainya.Kursus yang ditawarkan memang memenuhi tuntutan bakat yang kita minati.Jadi,apa lagi yang kita mahu?Pilih dan nilai sendiri kursus dan kualiti yang ditawarkan.Bukan apa,kemahiran yang ada boleh dikembangkan dan dikomersialkan serta boleh menjana pendapatan di samping dapat memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi keluarga.

Layari Jabatan Pengajian Kolej Komuniti dan Giat MARA untuk maklumat lanjut.


  • Menyemai sikap berjimat cermat dan membuat perancangan kewangan. 
Cadangan ini amat baik bagi yang berpendapatan stabil,akan tetapi tidak bagi yang tidak menentu pendapatannya.Bagi mereka yang tidak menentu pendapatannya,cadangan ini amat dangkal kerana pendapatan mereka tidak sampai akhir bulan,boleh habis begitu sahaja.Oleh sebab itu,mereka terjebak dengan hutang sehingga mereka dikelilingi dengan hutang,hutang dan hutang keliling pinggang hingga akhir hayat.Justeru itu,pendekatan yang hoslistik diperlukan untuk mengekang masalah ini.Perancangan kewangan perlu dibuat dan disusun sepanjang masa bagi mengetahui unjuran keluar masuk perbelanjaan kita.Sekiranya ada unjuran lebihan,bolehlah kita menyimpan untuk kecemasan kelak.Apa salahnya membuat potongan gaji minimum RM 50 di dalam Amanah Saham Bumiputera setiap bulan dan pada akhir tahun,dividennya hampir 6 hingga 8 peratus setiap tahun.Nah!apa lagi yang kita mahu?Apa tunggu lagi,bertindaklah sekarang sebelum terlambat!Nanti sudah nak terhantuk baru nak terngadah!


Dua cadangan ini sebenarnya adalah cadangan yang relevan dengan tuntutan masa kini yang mengejar populariti dan kedudukan.Akan tetapi ia menuntut kesabaran di dalam mencapai matlamat yang ingin dicapai di dalam diri.Sekiranya semuanya sudah cukup,apa yang kita kehendaki pasti kita akan dapat penuhi hasrat kita pendam selama ini.,Bak kata orang,berdikit-dikit dahulu,lama-lama menjadi bukit!

Moga-moga pandangan dan kritikan yang disampaikan diharap ada intipatinya.Azam Al-Banjari hanya manusia biasa,tidak terlepas dari dosa.Moga ALLAH merahmati kita semua.Amin.


Celik Akal Bestari:

Gunakan Kaedah Diplomasi.Moga Permuafakatan Dapat Dicapai.





Ahad, 29 Disember 2013

Perspektif Cakna Azam Al-Banjari....Pengenalan dan Objektif


Assalamualaikum...

Azam Al-Banjari hanyalah seorang manusiawi yang biasa-biasa sahaja.

Tetapi,dengan akal yang dikurniakan ALLAH Ta'ala,maka Azam Al-Banjari ingin meluaskan bakat di dalam penulisan melalui blog.

Maklumlah,zaman sekarang adalah zaman internet ataupun jalur lebar yang serba maju.Kan Malaysia nak jadi negara maju menjelang 2020 la katakan...kena kejar teknologi juga,nantti digelar buta
teknologi pula.

Oleh itu,Azam Al-Banjari hanya akan menumpukan analisis-analisis semasa yang tidak menyebelahi mana-mana pihak.Azam Al-Banjari juga akan menganalisa situasi politik semasa sesuai dengan kehendak masa dan keadaan TANPA memihak ideologi politik mana-mana pihak.Azam Al-Banjari juga akan menumpukan tentang isu-isu berkaitan kemasyakatan,pendidikan serta berkaitan belia masa kini.

Mulai hari ini juga,tiada istilah UMNO atau PAS mahupun PKR ataupun DAP apatah lagi KOMUNIS.Tiada tuduhan yang melulu atas nama politik.Pertelingkahan yang bermotifkan politik yang berlaku hanyalah merencatkan persefahaman di antara kita.Azam Al-Banjari juga cuba menyelitkan pelbagai kupasan-kupasan berbentuk ilmiah dari ulama-ulama dan kitab-kitab muktabar selain cuba berdakwah di dalam dunia maya ini.Diharap usaha Azam Al-Banjari mendapat manfaat daripada pembaca sekalian.

Sebenarnya,rakyat Malaysia sudah matang di dalam berpolitik sejak PRU pada tahun 2008 yang lalu.Mungkin sejak dari itulah,ramai pihak cuba untuk menegakkan tiang seri parti yang mereka sokong dan diterjemahkan pula pada PRU pada 5 Mei yang lalu.Setelah pilihan raya,ramai yang bermasam muka,tidak mahu bertegur sapa hanya kerana politik sehinggakan bab-bab kecil di dalam komuniti seperti menghadiri gotong-royong yang dianjurkan oleh perkumpulan penduduk dek kerana tidak bersefahaman di dalam bab-bab tertentu di dalam politik.

Ingat firman ALLAH Ta'ala di dalam Surah Al-Hujurat ayat-10 yang bermaksud

"Sesungguhnya orang mu'min (orang Islam) itu adalah saudara sesama manusia"

Nak ke kita gadaikan negara dan masyarakat hanya berpolitik semata-mata memenuhi poket dan perut pihak-pihak tertentu sampai mengabaikan saudara sesama kita?Berpolitik ada caranya,jangan pula matlamat menghalalkan cara.Itulah yang kita patut hindarkan.Semoga apa yang akan disiarkan nanti dapat memberi pengajaran dan manfaat kepada semua.


Celik Akal Bestari:

"Berpolitik ada caranya,jangan pula matlamat menghalalkan cara"